PENIAGA membersihkan ikan.
PENIAGA membersihkan ikan.

Kuala Lumpur: Harga ikan di pasar utama di ibu kota tidak menampakkan kenaikan walaupun negara kini berdepan cuaca panas melampau.

Tinjauan Harian Metro di pasar Chow Kit, semalam mendapati harga ikan kekal seperti sebelum ini berikutan kuantiti ikan dibekalkan nelayan dapat menampung permintaan pelanggan.

Suri rumah Halimaton Jamal, 48, mengakui sering membeli barangan basah di pasar Chow Kit kerana ia segar dan banyak pilihan.

“Memang sekarang ini cuaca panas berikutan utara Semenanjung mengalami El Nino, tapi harga ikan (biasa) di sini masih lagi sekitar RM7 sekilogram.

“Mengikut keadaan semasa harga ikan yang ditetapkan di sini sangat sesuai dengan kesegarannya dan berbaloi dengan harga yang ditawarkan,” katanya ketika ditemui di pasar itu.

Kelmarin, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan kejadian El Nino melanda negara yang dijangka berterusan sehingga April depan.

Pesara tentera, Azlan Ahmad, 62, berkata, walaupun sekitar ibu negara turut merasai tempias El Nino, pelbagai jenis ikan di pasar masih banyak berbanding musim tengkujuh dan ini akan mempengaruhi harganya.

“Di pasar, pelanggan bebas membuat perbandingan harga mengikut bajet kerana ada pelbagai pilihan dan boleh tawar-menawar.

“Kali ini, harga lebih murah berbanding musim tengkujuh sekitar Disember, ini menunjukkan nelayan masih boleh turun ke laut walaupun berlaku El Nino,” katanya.

Sementara itu, peniaga, Yusrizal Salleh, 32, berkata, El Nino tidak mempengaruhi harga ikan kerana sehingga kini, jumlah ikan yang diperoleh daripada nelayan tidak berkurangan.

“Jika dibandingkan pada musim tengkujuh, harga ikan berlaku kenaikan sehingga RM3 dan terpaksa menjual ikan yang disejuk beku akibat tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan.

“Kini, berlaku penurunan harga kerana kuantiti diperoleh banyak dan pelbagai,” katanya.

Menurutnya, harga ikan bermula RM7 sekilogram, ayam kekal RM7.50 sekilogram dan daging segar RM28 sekilogram.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2016 @ 8:47 AM