Sukarelawan mengagihkan makanan kepada mahasiswa   yang kurang berkemampuan    membeli makanan.
Sukarelawan mengagihkan makanan kepada mahasiswa yang kurang berkemampuan membeli makanan.

Bangi: “Gerakan Food For Mahasiswa (FFM) adalah usaha kami mengagihkan makanan kepada pelajar kurang mampu,” kata seorang sukarelawan gerakan itu, Muhd Khairul Farhan, 25.

Kata bekas pelajar jurusan undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, gerakan itu diperkenalkan pada 1 April tahun lalu selepas ramai pelajar mengadu harga makanan naik mendadak selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Ada pengusaha kafe sengaja menaikkan harga makanan selepas GST dengan alasan kos bahan mentah tinggi. Akibatnya ramai pelajar tidak mampu membeli makanan sehingga mencatu perbelanjaan harian mereka untuk makan.

“Ada sanggup berlapar semata-mata untuk berjimat. Kami simpati dengan situasi itu dan bercadang membantu pelajar tidak mampu. Disebabkan itu, timbul idea FFM,” katanya.

Menurut Khairul Farhan, gerakan itu diperkenalkan ketika dia berada di tahun akhir dan kebanyakan terbabit pelajar jurusan undang-undang.

Katanya, pada awal penubuhan gerakan itu, sumber kewangan hasil kutipan sepuluh ahlinya.

“Dengan duit terkumpul, kami mampu mengagihkan 100 bungkus makanan pada mulanya dan bungkusan bertambah selepas ada pihak sudi menderma.

“Sekarang, semuanya berjalan lancar dalam usaha membantu pelajar kurang mampu,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar tahun ketiga jurusan undang-undang, Amanina Yusrina Ahmad Kamal berkata, agihan makanan kini dilakukan secara konsisten dengan penyediaan makanan seperti nasi goreng, nasi ayam masak kicap, nasi lemak dan nasi ayam masak merah.

“Kami buat agihan di Pusanika UKM yang menjadi tumpuan pelajar dan semua pelajar tiada wang belanja makan boleh mendapat makanan itu secara percuma,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2016 @ 7:33 AM