TIGA tertuduh dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
TIGA tertuduh dibawa keluar dari mahkamah, semalam.

Kajang: Mahkamah Majistret di sini semalam, dimaklumkan bahawa dokumen kes tiga lelaki, termasuk seorang ahli perniagaan yang dituduh menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun di Sungai Chua pada 9 Oktober lalu, masih belum lengkap.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Amira Abd Aziz dalam prosiding sebutan semula kes di hadapan Majistret Abdul Jalil Salam Muhamad.

Terdahulu, Amira memaklumkan mahkamah bahawa izin belum diperoleh dari Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Selangor dan memohon tarikh baru. Abdul Jalil kemudian menetapkan 2 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mengikut pertuduhan, ahli perniagaan, Siow Kek Keong, 44; warga Indonesia, Riduansyah Yahya, 32, dan pemandu lori, Mohd Saifulamry Jarkasi, 28, didakwa menahan dan mengurung kanak-kanak lelaki itu untuk mendapatkan wang tebusan sebanyak RM300,000 di tepi Jalan Seroja, bersebelahan rumah Nombor 40 di Taman Setia, Sungai Chua di sini, pada jam 9.26 pagi, pada 9 Oktober lalu.

Ketiga-tiga didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Kes culik itu menjadi viral berikutan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan dua lelaki melarikan kanak-kanak terbabit disebarkan secara meluas menerusi laman sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 5:33 AM