LEMBU  berkeliaran dan melintas   jalan di Kampung Sentul Patah bahayakan keselamatan pengguna jalan raya.
LEMBU berkeliaran dan melintas jalan di Kampung Sentul Patah bahayakan keselamatan pengguna jalan raya.
Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Tindakan penternak lembu membiarkan ternakan mereka berkeliaran di jalan raya semakin menjadi-jadi, malah kini haiwan itu bukan saja bebas di kawasan kampung, tetapi mula memasuki kawasan bandar.

Beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini dan Marang mendapati lebih tiga kumpulan lembu antara 10 hingga 15 ekor berkeliaran di tepi jalan raya serta melintas jalan seterusnya membahayakan keselamatan pengguna.

Ahmad Hilmi Mahmood, 33, dari Kampung Durian Burung berkata, pemilik haiwan seolah-olah tidak prihatin dengan keselamatan pengguna jalan raya apabila menternak menggunakan kaedah ternak lepas berbanding mengurungnya di dalam kandang.

“Paling membimbangkan di kawasan pinggir bandar apabila ramai penternak membiarkan ternakan mereka berkeliaran mencari makanan di tempat pembuangan sampah termasuk di tong sampah.

“Pengguna jalan raya berisiko untuk merempuh ternakan yang berkeliaran memandangkan kumpulan lembu itu bukan hanya mencari makanan di kawasan kampung tetapi turut memasuki kawasan bandar.

“Saya kerap terserempak dengan kumpulan lembu yang dibiarkan berkeliaran, malah berpengalaman hampir merempuh haiwan itu berikutan ternakan itu tiba-tiba melintas jalan,” katanya.

Badrul Hisham Muktar, 44, dari Kampung Wakaf Tembesu berkata, dia pernah mengalami kerugian lebih RM11,000 apabila kereta yang dipandunya di Jalan Gong Badak merempuh seekor lembu yang melintas jalan, Januari lalu.

“Saya merempuh lembu itu pada waktu malam apabila ia tiba-tiba melintas jalan menyebabkan saya gagal mengelak seterusnya merempuh haiwan berkenaan.

“Memang sedih apabila kenderaan rosak teruk akibat merempuh haiwan itu, cuma saya bernasib baik kerana tidak cedera.

“Sebagai pengguna jalan raya, saya merayu penternak mengurung ternakan di dalam kandang terutama pada waktu malam bagi mengelak ia berkeliaran di atas jalan raya seterusnya membahayakan orang ramai,” katanya.

Sehubungan itu, dia berharap pihak bertanggungjawab seperti Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menjalankan operasi menangkap haiwan itu bagi mengelakkan penternak berterusan membiarkan ternakan mereka berkeliaran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2015 @ 5:13 AM