Tiga wanita direman bagi membantu siasatan kerana menjalankan kegiatan pelacuran.
Tiga wanita direman bagi membantu siasatan kerana menjalankan kegiatan pelacuran.
Oleh Ahmad Ismail

Segamat: Aktiviti persundalan yang dijalankan tiga wanita termasuk dua warga asing menggunakan bilik di tingkat atas premis perniagaan di Buloh Kasap di sini, terbongkar selepas mereka ditahan dalam serbuan polis, kelmarin.

Serbuan dilakukan jam 2.30 petang itu hasil maklumat awam dan intipan dilakukan polis daerah ini berhubung kegiatan mencurigakan di bahagian atas premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, dua yang ditahan adalah wanita warga Indonesia berumur 45 dan 35 tahun manakala seorang lagi adalah wanita tempatan berumur 29 tahun

Katanya, ketika serbuan dilakukan, tiada pelanggan ditahan tetapi berdasarkan penemuan beberapa peket kondom dan gel pelincir, pihaknya yakin wanita terbabit melakukan kegiatan pelacuran di situ.

“Siasatan lanjut turut merampas telefon bimbit milik wanita terbabit yang mempunyai rakaman video adegan seks dengan pelanggan yang diambil secara curi di dalam bilik yang dipisahkan dengan kain langsir itu.

“Berdasarkan soal siasat ke atas suspek, video itu ditunjukkan kepada pelanggan lain sebagai meyakinkan perkhidmatan seks yang mereka tawarkan adalah terbaik,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Mohd Kamil berkata, siasatan awal mendapati semua wanita berkenaan baru beberapa hari menyewa di bahagian atas premis berkenaan dan menawarkan perkhidmatan menggunakan aplikasi laman sembang telefon pintar.

“Caj yang dikenakan kepada pelanggan adalah berbeza mengikut perkhidmatan yang diinginkan iaitu antara RM50 hingga RM200 untuk sekali sesi.

“Kita juga yakin wanita terbabit menjalankan kegiatan secara sendirian tanpa membabitkan orang tengah atau bapa ayam tetapi siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2015 @ 9:44 AM