FASRAN  menunjukkan Ijazah yang di terima kepada ibunya, Nor Hayati Mohamad sambil diperhatikan  nenek saudaranya, Hamidah Abdullah.
FASRAN menunjukkan Ijazah yang di terima kepada ibunya, Nor Hayati Mohamad sambil diperhatikan nenek saudaranya, Hamidah Abdullah.
Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: “Saya tidak pernah rasa rendah diri dengan kecacatan ini, sebaliknya ia satu dorongan buat saya untuk terus gigih dan berdikari dalam segala hal,” kata Mohamad Fasran Razali, 24,

Dia adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Perindustrian, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok.

Dia antara 422 graduan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan serta Fakulti Industri Asas Tani yang menerima ijazah masing-masing sempena Istiadat Konvokesyen Ke-5 UMK, semalam.

Istiadat itu disempurnakan Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Mortaza Mohamed di Hotel Grand Riverview, di sini.

Fasran yang menghidap masalah otot kedua belah kaki sejak lahir, terpaksa bergantung kepada alat bantuan berjalan untuk bergerak.

Ada ketika, katanya, dia kerap terjatuh ketika berjalan ke kuliah dan terpaksa berpaut kepada rakan untuk membolehkannya bergerak dengan baik.

“Berikutan keupayaan fizikal tidak seperti orang lain, saya banyak menyusahkan orang membantu saya bergerak, namun beruntung kerana dikelilingi mereka yang memahami keadaannya.

“Kecacatan anggota tidak sepatutnya dijadikan halangan untuk meraih kejayaan dalam bidang akademik dan hari ini saya berjaya buktikannya,” katanya yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.20.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, kejayaannya juga adalah berkat kesungguhan dan doa daripada ahli keluarga yang tidak pernah putus memberi galakan untuk maju dan menjadi contoh terbaik kepada adik.

“Saya selalu berpesan kepada diri sendiri supaya jangan takut untuk mencuba sesuatu yang mustahil. Kena cuba dulu, jika tidak berhasil, cari dan baiki kelemahan berkenaan.

“Saya berazam menggunakan segala pengetahuan selama empat tahun di universiti ini untuk menjadi pereka yang berjaya dan disegani ramai,” katanya yang mahu menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, Lau Su Hui, 24, graduan Sains Gunaan dan Teknologi Pembangunan Produk berkata, keputusan melanjutkan pelajaran di UMK membolehkannya menjadi individu yang berdikari, kreatif dan inovatif.

“Sekiranya kita berusaha bersungguh-sungguh, kita akan dapat apa yang kita mahukan,” katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2015 @ 9:00 AM