ABDUL Hafiz (kanan) dan Norshahida sempena Majlis Graduasi dan Penyampaian Watikah Felo Muda Dakwah (FMD) di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Kuala Lumpur.
ABDUL Hafiz (kanan) dan Norshahida sempena Majlis Graduasi dan Penyampaian Watikah Felo Muda Dakwah (FMD) di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur: Program Felo Muda Dakwah (FMD) anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menjadi platform golongan muda mendalami kemahiran berdakwah di samping menceburi bidang kerjaya kelak.

Penerima Anugerah Khas FMD Kategori Lelaki Abdul Hafiz Mat Tuah, 30, berkata, program itu mengajar graduan yang ada pengetahuan agama daripada pelbagai institusi pengajian menyalurkan dakwah secara telus dan mampu meninggalkan impak kepada masyarakat.

“Selama enam bulan menjalani kursus FMD, setiap individu dilengkapkan dengan teori dan praktikal melalui enam modul khas, antaranya kepemimpinan, disiplin, kewarganegaraan dan undang-undang sebagai persiapan ke medan dakwah.

“Berdakwah bukan hanya bercakap tapi pendakwah mesti mengetahui kandungan dan cara menyampaikan suatu perkara supaya ia meyakinkan masyarakat dan tidak menimbulkan kekeliruan,” katanya ketika ditemui di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) sempena Majlis Graduasi dan Penyampaian Watikah FMD, di sini, semalam.

Abdul Hafiz berkata, dia kini diserapkan di bawah YADIM sebagai Kepemimpinan Belia pada 16 November lalu untuk mendekatkan generasi muda ke arah agama.

Seramai 22 Felo Muda Dakwah YADIM siri 1/2015 menerima sijil graduasi selepas berjaya menamatkan kursus selama enam bulan dalam program FMD manakala 32 orang lagi menerima watikah menyertai program itu bagi siri 3/2015.

Turut hadir Yang Dipertua YADIM Dr Yusri Mohamad dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Penerima Anugerah Khas FMD Kategori Wanita Norshahida Khalid, 24, berkata, sebagai seorang wanita terdapat pelbagai perkara yang boleh dilakukan selain menjadi suri rumah.

“Walaupun era globalisasi kini sesetengah wanita sudah menonjol, ada sebilangan wanita masih malu dan takut untuk menyuarakan pendapat dan pandangan.”

“Oleh itu, golongan wanita perlu berani melangkah ke hadapan dengan berkeyakinan namun tidak melanggar syariat Islam kerana generasi yang hebat itu lahir daripada wanita yang hebat,” katanya yang juga graduan Ijazah Dakwah dan Sumber Manusia dari Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2015 @ 8:15 AM