MD Shukri (kiri) bersama isteri Jamilah Abdullah dan anaknya Muhamad Faez (dua dari kiri) dan Muhammad Naim.
MD Shukri (kiri) bersama isteri Jamilah Abdullah dan anaknya Muhamad Faez (dua dari kiri) dan Muhammad Naim.

Kuala Lumpur: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyasarkan nilai perlindungan takaful bagi produk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i Plus) RM450 juta menjelang akhir tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, nilai perlindungan takaful itu membabitkan sekurang-kurangnya 10,000 akaun baru skim ini dan diharap sasaran itu dicapai mengikut garis masa yang ditetapkan.

“Sejak ia dilancarkan pada 8 Jun sehingga 30 November lalu, jumlah perlindungan takaful yang diberikan bagi kematian serta keilatan kerana kemalangan RM181.45 juta.

“Kita juga meletak sasaran menjelang 2020, jumlah deposit terkumpul mencecah RM2 bilion dan ia sejajar usaha PTPTN menerusi pelbagai kempen serta inisiatif dilaksanakan,” katanya selepas pelancaran promosi ‘Berbelanja Sambil Menabung’ di Jakel Mall, di sini, semalam.

Shamsul Anuar berkata, skim itu bertujuan mengatasi masalah kebergantungan terhadap pembiayaan pendidikan dan kewujudan perlindungan takaful itu akan menjamin sumber kewangan bagi tujuan pendidikan jika berlaku sesuatu tidak diingini.

Menurutnya, pelbagai inisiatif diambil untuk membudayakan sikap suka menabung dalam kalangan ibu bapa serta anak dan program promosi yang dilancarkan di Jakel Mall adalah kerjasama strategik dengan syarikat berkenaan.

“Syarikat korporat lain seharusnya mencontohi usaha serta inisiatif yang diambil oleh Jakel dalam membudayakan sikap menabung. Jika lebih banyak syarikat korporat yang terbabit, sudah pasti hasrat kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan akan dikurangkan.

“Bagi promosi ini juga, ia akan berlangsung dua minggu bermula hari ini (semalam) sehingga 20 Disember dan pelanggan yang berbelanja sebanyak RM500 akan menerima baucar penabungan bernilai RM50,” katanya.

Katanya, PTPTN menyediakan 10,000 baucar bernilai RM50 setiap satu sepanjang promosi ini.

Sementara itu, pemenang Cabutan Wow! SSPN-i Plus, Md Shukri Mutammin Md Sharif, 54, yang memenangi sebuah kereta BMW 320i menzahirkan rasa gembira berikutan terpilih sebagai pemenang cabutan suku tahun pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2015 @ 5:10 AM