LEMBU berkeliaran di Jalan Kampung Sentul Patah.
LEMBU berkeliaran di Jalan Kampung Sentul Patah.

Marang: Sikap tidak prihatin segelintir penternak lembu di Kampung Sentul Patah, di sini, yang membiarkan ternakan mereka berkeliaran boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Penduduk, Mohamad Naim Abdullah, 30, berkata, lembu yang berkeliaran di kawasan jalan boleh menyebabkan berlaku kemalangan terutama kepada orang luar yang tidak biasa dengan laluan di kampung berkenaan.

“Penternak seolah-olah sengaja membiarkan ternakan mereka berkeliaran di kawasan jalan sedangkan mereka sudah sedia maklum perbuatan itu boleh menyebabkan kemalangan dan membahayakan pengguna jalan raya.

“Sebagai pengguna jalan raya di kawasan ini, saya berharap penternak lebih prihatin dengan masalah itu dan tidak membiarkan haiwan terbabit berkeliaran di tepi jalan sebelum kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatiannya sepanjang melalui kawasan kampung itu, terdapat lebih tiga kumpulan lembu antara lima hingga 10 ekor satu kumpulan berkeliaran di tepi jalan.

“Memandangkan lembu yang dilepaskan berkeliaran, jalan kampung itu menghala ke kawasan Pengkalan Berangan turut dicemari najis lembu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2015 @ 5:25 AM