ROHANI bermesra dengan penerima anugerah sempena Majlis Sambutan Hari Orang Kurang Upaya  Peringkat Kebangsaan 2016, semalam.
ROHANI bermesra dengan penerima anugerah sempena Majlis Sambutan Hari Orang Kurang Upaya Peringkat Kebangsaan 2016, semalam.
Oleh Siti Fatimah Hassan


Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan meneruskan program ‘Job Coach’ tahun depan selepas program melatih orang kurang upaya (OKU) memasuki alam pekerjaan itu berjaya melatih 431 orang OKU sejak dimulakan tiga tahun lalu.

Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, program itu dilihat memberi manfaat besar kepada golongan sasar iaitu OKU di mana ia amat membantu memberi bimbingan dan sokongan kepada mereka terutama bagi memastikan terus kekal bekerja dengan majikan masing-masing.

Katanya, sejak dimulakan, sebanyak 241 majikan mengambil bahagian dan disertai seramai 108 pembimbing terdiri daripada pegawai kementerian serta sukarelawan yang melatih OKU selama enam bulan bermula hari pertama mereka mula bekerja.

“Sehingga kini kita sudah melatih 431 OKU, 241 majikan serta 108 pembimbing menerusi program Job Coach.

“Ia sebenarnya dimulakan pada 2012 menerusi kerjasama dengan Japan International Cooperation Agency (JICA) dari Jepun, namun kerjasama itu akan tamat akhir tahun ini.

“Bagaimanapun, program ini adalah begitu baik dan kementerian sendiri akan mula mengendalikannya bermula tahun depan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Majlis Sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Peringkat Kebangsaan 2016, di sini, semalam.

Sempena majlis itu, beliau turut menyampaikan beberapa anugerah iaitu Anugerah Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Cemerlang, Anugerah Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) Cemerlang, Anugerah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Prihatin, Anugerah Majikan Prihatin Sektor Awam dan Swasta, Anugerah Ibu Bapa Mithali, Anugerah Khas OKU kategori sukan, usahawan dan akademik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2015 @ 6:05 AM