Mayat mangsa yang ditemui tergantung  di rumahnya di    Sungai Way, Petaling Jaya dibawa keluar untuk dihantar ke PPUM.
Mayat mangsa yang ditemui tergantung di rumahnya di Sungai Way, Petaling Jaya dibawa keluar untuk dihantar ke PPUM.
Oleh Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Seorang lelaki yang baru pulang menjaga ibu sakit di kampung sebaliknya ditemui mati dalam keadaan leher terjerut di dalam rumahnya di Sungai Way.

Dalam kejadian jam 10 pagi semalam, mangsa berusia 37 tahun itu dipercayai mati akibat masalah kemurungan dialami sejak beberapa bulan lalu.

Salah seorang jiran yang enggan dikenali berkata, mangsa sebelum ini pulang ke kampung halamannya di Johor untuk menjaga ibunya yang sakit sejak dua bulan lalu.

Namun, menurutnya, mangsa pulang semula ke rumah, kelmarin.

“Saya difahamkan mangsa menghidap penyakit gastrik. Kami semua terkejut apabila mendapat tahu dia ditemui mati tergantung di dalam rumahnya.

“Mangsa ditemui di bilik belakang dalam rumah dalam keadaan memakai kain pelekat tanpa baju dan tergantung pada besi jeriji tingkap,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, mangsa dikenali sebagai Raja Saod Raja Akob dilihat kali terakhir pada jam 10 malam kelmarin oleh ibu angkatnya.

“Dia bagaimanapun ditemui mati tergantung jam 10 pagi, semalam.

“Mangsa yang masih belum berkahwin bekerja dengan ibu angkatnya yang berniaga makanan,” katanya.

Menurutnya, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat,” katanya.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang lelaki berusia 60 tahun maut selepas dipercayai terjun dari tingkat tiga di sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Salak Selatan, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Chong Yew Ping ditemui orang ramai sebelum memaklumkan kejadian kepada polis.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, pasukan perubatan dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 9:36 AM