Kuala Lumpur: Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (ISGIA), Istanbul, Turki milik penuh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) digegarkan dengan letupan di kawasan landasan, jam 2.10 pagi waktu tempatan.

Pengarah Eksekutif ISGIA Datuk Azmi Murad dalam satu kenyataan berkata, pihaknya dimaklumkan dua pekerja syarikat penerbangan dilaporkan cedera dalam insiden itu.

“Polis berada di tempat kejadian untuk memeriksa dan mengawal kawasan lapangan terbang sementara Majlis Keselamatan Penerbangan dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Polis menyiasat insiden itu dan kerajaan Turki mengetatkan keselamatan di sekitar kawasan lapangan terbang termasuk menjalankan pemantauan menggunakan helikopter,” katanya.

Menurutnya, pihaknya bekerjasama rapat dengan kerajaan Turki dan rakan sejawat untuk membantu siasatan dan menunggu laporan rasmi mengenai insiden berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, ISGIA meneruskan operasi penerbangan seperti biasa pada jam 4 pagi waktu tempatan.

Sementara itu, menurut laporan agensi berita di Turki, seorang wanita terbunuh manakala rakannya cedera akibat letupan yang tidak diketahui puncanya di lapangan terbang berkenaan.

Zehra Yamac, 30, yang bekerja sebagai tukang cuci maut akibat kecederaan di kepala, beberapa jam selepas letupan berlaku di landasan ISGIA di bahagian Asia bandar terbesar Turki itu.

Rakan Zehra pula cedera dalam kejadian itu dan kini beransur pulih.

Letupan berlaku di luar bangunan terminal, tempat pesawat di parkir untuk membolehkan penumpang naik atau turun.

Syarikat penerbangan swasta Turki, Pegasus Airlines dalam satu kenyataan berkata, letupan berlaku bersebelahan sebuah pesawatnya di landasan manakala dua wanita terbabit berada tidak jauh dari situ.

“Bagaimanapun, Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen meneruskan operasi seperti biasa,” katanya.

Lapangan terbang itu yang dinamakan selepas juruterbang pejuang pertama negara itu yang kedua di Istanbul selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk di sebelah Eropah.

Sabiha Gokcen yang menerima penerbangan tempatan dan antarabangsa, kebanyakannya membabitkan pesawat tambang murah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2015 @ 10:07 AM