SZONERT
SZONERT

Kuala Lumpur: Pelakon Australia Eliza Szonert, 42, ditahan polis selepas ‘menculik’ anak lelaki berusia enam tahun daripada bekas suaminya awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor berkata, polis sudah memperolehi perintah tahanan reman selama tiga hari bermula semalam untuk membolehkan siasatan dilakukan.

Katanya, Szonert ditahan mengikut Seksyen 365 dan 339 Kanun Keseksaan kerana menculik serta menghalang pergerakan seseorang secara salah.

Difahamkan, pelakon drama bersiri ‘Neighbours’ tu ditahan selepas dia memberi keterangan kepada polis berhubung kes berkenaan semalam.

Sehingga kini, Szonert enggan mendedahkan di mana kanak-kanak itu disembunyikan.

Pelakon yang berasal dari Melbourne, Australia itu didakwa merampas anak lelakinya daripada bekas pasangannya di sebuah restoran di pusat beli belah Mid Valley di sini, 10 Disember lalu dengan bantuan dua lelaki.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memburu Szonert berikutan tindakannya melarikan anak lelaki daripada bekas suaminya, Khamis lalu.

Pelakon wanita itu diburu selepas gagal tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan polis.

Difahamkan, polis sudah mengambil keterangan daripada lelaki yang mendakwa bekas suaminya itu dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenalpasti punca sebenar insiden berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2015 @ 9:23 AM