Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Keputusan Kementerian Pendidikan meluluskan pertukaran 1,848 guru ke tempat baru mengikut pasangan masing-masing dianggap satu langkah proaktif yang akan membantu meningkatkan semangat mereka ketika menjalankan tugas masing-masing.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan menyifatkan, pengumuman itu satu berita baik dan motivasi kepada golongan itu yang berjauhan dengan keluarga untuk melangkah ke tahun baru.

“Saya mahu ingatkan selepas ini jangan ada yang kerja sambil lewa dan tambah masalah lain, sebaliknya guru yang terpilih ini perlu bekerja lebih tekun dan bersungguh-sungguh.

“Buktikan mereka gembira dengan pemindahan itu dan memberi faedah di sekolah baru sebagai tanda terima kasih kepada keprihatinan kementerian yang berjaya menangani masalah mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, NUTP memuji usaha kementerian yang meluluskan 1,848 daripada 7,000 permohonan pertukaran guru mengikut pasangan masing-masing dalam tempoh singkat selepas sebulan penubuhan jawatankuasa khas bagi menangani masalah golongan itu.

“Tindakan pantas ini melegakan sejumlah guru yang sebelum ini terpaksa berjauhan dengan pasangan masing-masing apabila berjaya menyelesaikan hal peribadi mereka.

“Walaupun tidak 100 peratus selesai, namun sekurang-kurangnya beban menanggung kos sewa rumah dan perjalanan jauh berulang-alik dapat diringankan apabila menetap bersama pasangan masing-masing mulai tahun depan.

“Saya percaya apabila perkara ini dapat ditangani, guru yang terbabit dalam dilema duka lara ini dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada tugas mengajar dengan semangat waja membantu meningkatkan pencapaian murid dan pelajar,” katanya.

Hashim berharap kementerian akan mempertimbangkan baki permohonan pertukaran guru ke tempat baru dengan mengambil tempat kekosongan mereka yang bersara.

“Saya berharap pengisian kekosongan tempat guru bersara diberi keutamaan kepada guru yang membuat permohonan pertukaran ini supaya semua yang memohon dapat dipindahkan mengikut opsyen mata pelajaran masing-masing di tempat baru pilihan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2015 @ 7:35 AM