Kamsiah bersama Syed Muhammad Ikhqwan (kiri) dan Syed Saiful Ryzal di rumah sewanya di Kampung Che Wan.
Kamsiah bersama Syed Muhammad Ikhqwan (kiri) dan Syed Saiful Ryzal di rumah sewanya di Kampung Che Wan.
Oleh Shamsudin Husin


Chukai: "Saya tidak dapat menahan air mata kerana terlalu gembira melihat anak Syed Saiful Ryzal Syed Azmi, 9, terpilih menerima bantuan pakaian seragam sekolah menerusi program Titipan Kasih Harian Metro," kata Kamsiah Ngah, 36.

Menurutnya, dia bersyukur menerima bantuan itu terutama kerana dia dan suami Syed Azmi Syed Ahmad, 45, terpaksa menanggung pelbagai perbelanjaan sedangkan mereka tidak mempunyai pendapatan mencukupi.

"Kami kini tinggal di rumah sewa dengan bayaran sewa RM150 sebulan. Itu belum termasuk belanja lain lagi.

"Suami saya hanya bekerja sebagai pemotong rumput di kawasan perindustrian Teluk Kalong dengan gaji hanya RM900 sebulan mengikut hari bekerja," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Che Wan, dekat sini, semalam.

Menurutnya, dia tidak bekerja kerana terpaksa menjaga anak bongsu Syed Muhammad Ikhqwan yang baru berusia dua tahun.

"Jika hari hujan dan keadaan kesihatan suami terganggu, dia tidak dapat bekerja penuh pada hari bekerja, sekali gus menyebabkan pendapatannya berkurangan.

"Pendapatan kami sekeluarga bergantung kepada kesihatan suami.

"Ada masanya dia tidak dapat bekerja sebulan penuh dan hanya memperoleh pendapatan antara RM400 hingga RM600 sebulan.

"Bayangkan dengan pendapatan sebanyak itu, saya terpaksa berjimat dan membeli makanan perlu saja bagi meneruskan kehidupan," katanya.

Menurutnya, dia bersyukur anaknya terpilih menerima bantuan pakaian seragam sekolah di bawah program Titipan Kasih Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 8:23 AM