NAJIB bersama peserta program eUsahawan di PWTC, semalam.
NAJIB bersama peserta program eUsahawan di PWTC, semalam.
Oleh Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Golongan belia serta pelajar terutama dalam bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) disaran menyertai program transformasi digital menerusi penggunaan teknologi terkini, sekali gus menjadi usahawan muda dalam bidang berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, program yang dilaksanakan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) bersama institusi TVET itu akan dapat membuka minda generasi muda untuk berfikir meneroka peluang baru dan menjana pendapatan sendiri.

Katanya, menerusi program eUsahawan itu, ia akan dapat mengubah persepsi graduan yang sebelum ini hanya berfikir sama ada untuk bekerja dengan kerajaan atau memasuki sektor swasta.

“Tetapi, melalui eUsahawan ini, kita membangunkan golongan usahawan muda yang boleh mencari rezeki sendiri dan menambah pendapatan,

“Saya menyokong penuh program eUsahawan ini dan berharap lebih ramai akan terbabit dalam e-dagang untuk menerokai industri masa hadapan,” katanya dalam ucapan perasmian program Daya eUsahawan 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan Ketua Pegawai Eksekutif MDeC Datuk Yasmin Mahmood.

Program eUsahawan inisiatif berlandaskan pembabitan dan pendidikan yang menyepadukan kurikulum keusahawanan digital ke dalam kursus di institusi TVET di seluruh negara dan diperluaskan kepada masyarakat usahawan mikro setempat menerusi penyesuaian kurikulum latihan kepada format kursus singkat.

Najib berkata, seramai 2,363 pelajar terbabit dalam program perintis eUsahawan di 147 kampus dari empat institusi TVET di bawah bimbingan 423 pensyarah sejak Julai lalu,

“Pada masa sekarang ini di institusi vokasional, TVET dan sebagainya kita ada kira-kira 300,000 pelajar setahun, cuba bayangkan semua pelajar ini dapat kemahiran eUsahawan ini, tentu sekali kita akan bangunkan usahawan teknologi generasi baru,” katanya.

Menurutnya, program eUsahawan menggunakan platform Internet membuka pasaran lebih luas kepada usahawan berbanding kaedah tradisional yang lebih kecil dan bersifat setempat.

Katanya, pasaran e-dagang negara dijangka berkembang kepada RM88 bilion tahun depan berbanding RM72 bilion tahun ini, dipacu oleh minat serta kesedaran peniaga dan pengguna untuk menggunakan platform teknologi maklumat sebagai medium transaksi yang semakin meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 9:23 AM