POLIS Perancis melancarkan serbuan berterusan di banyak lokasi di seluruh negara susulan serangan di Paris, Jumaat lalu.
POLIS Perancis melancarkan serbuan berterusan di banyak lokasi di seluruh negara susulan serangan di Paris, Jumaat lalu.

Paris: Pihak berkuasa Perancis mengesahkan lebih 10,000 suspek termasuk dalang serangan berdarah di Dewan Konsert Bataclan, Omar Ismail Mostefai, Jumaat lalu disenaraikan mempunyai kaitan dengan gerakan atau kumpulan pengganas.

Sumber keselamatan berkata, senarai berkenaan dinamakan ‘fiche S’ (fail S dalam bahasa Perancis) dikemas kini setiap hari termasuk suspek yang boleh mengancam keselamatan negara.

“S bermaksud suspek berpotensi mengancam dan membahayakan keselamatan negara.

“Senarai itu mengandungi 15 kategori suspek daripada penyokong samseng bola sepak hinggalah mereka yang baru pulang daripada berjihad di Iraq dan Syria. Lebih 10,000 orang ada dalam senarai S,” kata Perdana Menteri Perancis Manuel Valls.

Sesetengah mereka sudah dikenal pasti dan diburu oleh pasukan keselamatan dan ada yang dijatuhi hukuman atas perbuatan keganasan manakala yang lain dalam senarai disyaki.

Kebelakangan ini kejadian keganasan semakin meningkat yang dikaitkan dengan rangkaian Al-Qaeda termasuk serangan lelaki bersenjata Mohammed Merah yang membunuh tujuh individu di Toulouse pada 2012.

Sementara itu, Presiden Perancis Francois Hollande mengesahkan serangan terhadap Paris mengorbankan 132 nyawa, Jumaat lalu dipercayai dirancang di Syria, diatur di Belgium dan dilaksanakan dengan pembabitan warga Perancis.

“Perkara ini diperoleh berdasarkan risikan dilakukan pasukan keselamatan negara itu,” katanya pada perhimpunan bersama di Parlimen di Versailles, selatan Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 5:58 AM