Pelajar  SK Putrajaya Presint 11 (1) yang mendapat 5A dalam UPSR.
Pelajar SK Putrajaya Presint 11 (1) yang mendapat 5A dalam UPSR.

Putrajaya: Kesediaan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11 (1) berkorban masa dan tenaga terutama dalam menyediakan sendiri makanan untuk calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sepanjang kelas bimbingan di sekolah mereka nyata berbaloi.

Apa tidaknya, tahun ini, sekolah berkenaan bukan saja menjadi sekolah terbaik bagi UPSR di Putrajaya sebaliknya ia kejayaan tahun keenam berturut-turut diraih sekolah berkenaan.

Tahun ini, seramai 56 daripada 150 calon UPSR sekolah itu berjaya memperoleh semua Gred A bagi kertas peperiksaan yang diduduki.

Pencapaian itu juga meletakkan SK Putrajaya Presint 11 (1) sebagai antara 10 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) terbaik di Malaysia.

Guru Besarnya Suhaimi Ali Ahmad berkata, pencapaian itu juga lebih baik daripada tahun lalu dari segi peratusan, iaitu apabila calon yang mendapat semua Gred A meningkat, daripada 35.76 peratus kepada 37.33 peratus tahun ini.

“Ini semua berkat kerja keras guru dan murid serta serta sokongan daripada ibu bapa. Ia adalah satu kerja berpasukan yang akhirnya membuahkan hasil yang baik,” katanya ketika ditemui di sekolah itu sempena pengumuman UPSR, di sini, semalam.

Sementara itu, calon sekolah berkenaan yang mendapat semua Gred A, Mohamad Fauzan Akmal Zulkarnain, 12, berkata, sikap tidak malu bertanya jika tidak memahami sesuatu mengenai pelajaran adalah antara faktor kejayaannya.

Seorang lagi calon cemerlang, Nurul Irdiana Zainal Abidin, 12, berkata, selain menghadiri kelas tuisyen, dia juga sering belajar secara berkumpulan bersama rakannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 5:26 AM