OTHMAN
OTHMAN

Putrajaya: Kedudukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terus relevan dan kukuh bagi menjalankan tiga fungsi utamanya iaitu melaksanakan tugas penyelarasan dalam bidang undang-undang, pendidikan dan pentadbiran Islam.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata, jabatan itu signifikan sebagai urusetia kepada Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam yang ditubuhkan Majlis Raja-Raja pada
1 Julai 1969.

“JAKIM sebuah agensi pusat yang ditubuhkan kerajaan Persekutuan bagi menyelaraskan isu berkaitan hal ehwal Islam.

“Selain itu, JAKIM berperanan membantu Perdana Menteri dalam hal ehwal Islam selaras dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai Agama Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, semua dasar kerajaan juga perlu mengambil kira kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menjelaskan Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 12(2) secara nyata membenarkan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri menubuhkan dan menyediakan sejumlah wang bagi menyelenggara institusi Islam seperti masjid serta sekolah.

Othman berkata, JAKIM sentiasa menjulang tinggi kuasa Islam yang terletak di bawah kuasa Sultan di setiap negeri seluruh negara, manakala Raja-Raja Melayu mendapat nasihat daripada Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dalam hal berhubung dengan pentadbiran dan kemaslahatan umat Islam.

“Oleh itu, kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam dan perkara yang melibatkan hal ehwal Islam terus diwarisi dalam Perlembagaan Persekutuan. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2015 @ 8:08 AM