AKTIVITI jual beli dadah berhampiran PPR Sri Anggerik, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.
AKTIVITI jual beli dadah berhampiran PPR Sri Anggerik, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.
PELBAGAI peralatan menghisap dadah ditemui di dalam rumah kososng di kawasan PPR.
PELBAGAI peralatan menghisap dadah ditemui di dalam rumah kososng di kawasan PPR.
Oleh Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: Umpama gerai menjual juadah sarapan pagi. Itu antara kegiatan beberapa pengedar dadah yang menjalankan aktiviti jenayah seawal jam 6 pagi berhampiran pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Anggerik, Jalan Klang Lama, di sini.

Kumpulan ‘tokan dadah’ terbabit menjadikan kawasan semak berhampiran PPR itu sebagai ‘sarang’ untuk membekalkan dadah kepada penagih.

Taktik itu jelas mendapat sambutan dalam kalangan penagih yang mengambil dulu bekalan dadah sebelum ke tempat kerja.

Malah, kegiatan jenayah itu dapat dilihat jelas dari tingkat atas bangunan PPR apabila ramai individu dikesan keluar masuk ke kawasan semak terbabit untuk membeli dadah.

Penyamaran dilakukan wartawan Harian Metro sejak empat hari lalu mendapati, kawasan itu menjadi tumpuan beberapa tokan dadah berikutan majoriti pelanggan adalah penghuni pangsapuri itu.

Modus operandi digunakan cukup mudah apabila suspek hanya menunggu pelanggan datang untuk mendapatkan bekalan dadah ke kawasan semak itu.

Pelanggan yang mahu membeli dadah dilihat muncul menunggang motosikal atau berjalan ke lokasi berkenaan.

Hasil pemerhatian mendapati tokan dadah akan meletakkan tonto di jalan masuk ke kawasan itu bagi memastikan identiti pembeli.

Malah, penunggang motosikal diwajibkan membuka topi keledar dipakai sebelum boleh menghampiri ‘bos’ mereka.

Wartawan bersama jurugambar berjaya merakamkan aktiviti urus niaga dadah dilakukan suspek yang berakhir dua jam kemudian.

Ketika intipan dilakukan, salah seorang tokan dadah terbabit dilihat menyerahkan bungkusan plastik kecil selepas menerima wang daripada pelanggan.

Berdasarkan pemerhatian lebih 30 penagih dadah melakukan urus niaga dalam tempoh kurang sejam.

Salah seorang penagih dadah ditemui mengaku sudah sekian lama membeli dadah di kawasan itu walaupun kerap diserbu polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Biasanya mereka (pengedar dadah) henti operasi sementara sebelum muncul kembali,” katanya.

Sementara itu, dalam tinjauan berasingan di PPR Pudu Ulu, Cheras di sini, mendapati pengedar dadah muncul dengan menaiki motosikal untuk menyerahkan dadah kepada pelanggan.

Mereka dikesan melakukan urus niaga di tangga pangsapuri serta kawasan meletak motosikal di PPR itu.

Tinjauan sama dilakukan di PPR Taman Putra Damai, Lembah Subang, pula mendapati penagih dadah menjadikan unit rumah kosong tidak berpenghuni sebagai lokasi melepaskan gian.

Ini dibuktikan apabila terdapat peralatan digunakan penagih seperti jarum, kertas timah rokok yang terbakar dan tiub straw yang berselerakan di lantai.

Seorang penduduk Huzaidi Yahya, 47, berkata, ada pengedar dadah yang aktif menjual ganja atau heroin kepada segelintir penghuni menyebabkan gejala itu berlaku di kediamannya.

“Saya berharap pihak berkuasa mengunci dan memasang pagar besi pada setiap pintu unit rumah yang kosong bagi mengelakkan ia disalah guna penagih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 9:58 AM