NORSHAHLIZA menghias  kek yang ditempah pelanggannya.
NORSHAHLIZA menghias kek yang ditempah pelanggannya.
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Hulu Langat: Bersandarkan pengalaman hampir tujuh tahun dalam bidang perniagaan restoran dan penyediaan makanan, bekas pegawai sebuah kementerian, Norshahliza Jamaludin, 30, nekad membuka bisnes bakeri menerusi dalam talian.

Norshahliza berkata, dia tidak menyesal memilih bidang perniagaan dalam talian memandangkan ia memiliki pasaran luas dan promosi menerusi laman sosial juga boleh dilakukan hingga ke seluruh negara.

Menurut pemilik Dapur Bulat-bulat (DBB) itu lagi, dia bermula dengan mengambil tempahan kek secara kecil-kecilan menerusi laman Facebook pada 2013 dan ketika itu, hanya dua hingga tiga tempahan kek saja diterima dalam masa seminggu.

Selepas itu, dia membuka akaun di laman Instagram dan mula mempromosikan kek yang dihasilkan.

Norshahliza mengakui promosi menerusi laman sosial lebih cepat dan berkesan berbanding kaedah konvensional biasa.

“Kini, selepas lebih dua tahun, DBB mempunyai ramai pelanggan setia dengan purata saya menerima tempahan antara lima hingga enam kek setiap hari dan jumlah itu meningkat sekali ganda pada musim cuti persekolahan.

“Selain itu, ada juga pelanggan yang menempah berdasarkan cerita dan komen mulut ke mulut disampaikan pelanggan,” katanya yang juga bekas pelajar jurusan Pengurusan Hotel Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Kata ibu dua anak itu lagi, sehingga kini, terdapat lebih 20 rekaan kek perkahwinan dihasilkan berdasarkan permintaan pelanggan.

Antara yang mendapat permintaan tinggi adalah kek krim mentega, kek pelangi, kek coklat, red velvet, kek cawan serta kek fondant.

Katanya, bagi memberi kelainan, rekaan dan dekorasi kek yang dihasilkan juga tidak sama dengan yang terdapat di pasaran kerana dia mahu pelanggan merasai keistimewaan produknya.

“Selain kek perkahwinan, saya turut menerima tempahan kek hari jadi serta kek cawan untuk sambutan ulang tahun mengikut rekaan dan tema yang dimahukan pelanggan.

“Antaranya karakter kartun dan animasi popular seperti Ana, Elsa (Frozen), Superman, Batman, Upin dan Ipin, Ultraman, Robocarpoli, Hello Kitty serta kek pasukan bola sepak kegemaran.

“Alhamdulillah, setakat ini pelanggan yang menempah kek rata-rata memberikan maklum balas positif dan berpuas hati dengan kek dihasilkan,” katanya yang turut menjalankan perniagaan makanan Barat, Western Hut di Batu 9, Hulu Langat.

Bagi memberi kelainan, Norshahliza turut menyediakan khidmat penghantaran kek hingga ke depan rumah pelanggan di sekitar kawasan Lembah Klang.

Selain itu, Norshahliza dan suaminya, Jaslan Ishak, 30, juga menyediakan khidmat penghantaran kek secara peribadi kepada seseorang mengikut tempahan pelanggan.

“Kami menerima banyak tempahan kek terutama untuk membuat kejutan kepada seseorang dengan kek hari jadi.

“Biasanya, pelanggan mahu kami menghantar kepada rakan atau insan tersayang mereka pada waktu bekerja di pejabat masing-masing.

“Kami gembira dapat membantu pelanggan membuat kejutan dalam meraikan hari istimewa insan tersayang mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 8:50 AM