ANTARA mereka yang hadir menyaksikan  Pertandingan Kucing Terbesar Di Dunia di Perpustakaan Awam Negeri, Terrenganu.
ANTARA mereka yang hadir menyaksikan Pertandingan Kucing Terbesar Di Dunia di Perpustakaan Awam Negeri, Terrenganu.
Oleh Aslina Abu Bakar

Kuala Terengganu: Seorang peserta mempertaruhkan 13 daripada 70 ekor kucing peliharaannya pada Pertandingan Kucing Tercantik di Perpustakaan Awam Terengganu di Padang Hiliran di sini, semalam.

Ahmad Akram Anuar Suhaimi, 18, dari Kampung Pulau Rusa berkata, dia mempertaruhkan kucing daripada baka ‘Red Doll’, ‘Short Hair’, ‘Siberian’, ‘Bengal’, ‘Scottish Fold’ dan ‘Persia’.

“Sebelum pertandingan, saya pastikan kucing sihat dan didandan. Kucing daripada baka ‘Menkun’ yang diberi nama Clark pernah memenangi pertandingan di Kuala Lumpur sebelum ini dan sekali lagi saya pertaruhkannya kali ini.

“Selain saya, bapa (Suhaimi Embong) adalah peminat tegar kucing dan kami sekeluarga bersama-sama menjaga kebersihan rumah serta haiwan berkenaan,” katanya yang turut memiliki kucing berharga RM25,000 seekor.

Seorang lagi peserta, Suziana Embong, 37, dari Bukit Besar berkata, dia minat dengan kucing sejak kecil dan mula membela dengan membeli haiwan berkenaan bermula 2008.

“Sehingga kini, saya membela 13 ekor kucing dan tiga daripadanya diimport dari Poland pada harga RM25,000 seekor. Sebagai peminat kucing, memiliki kucing yang unik serta cantik adalah satu kepuasan buat saya.

“Apa yang penting, kita perlu bijak mengurus kucing peliharaan ini supaya ia tidak dijangkiti penyakit selain sentiasa bersih,” katanya.

Pertandingan Kucing Tercantik itu menyaksikan penyertaan 140 kucing pelbagai saiz, corak dan warna dari seluruh negara.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Pencinta Kucing Terengganu (PKPKT) Nik Irwan Nik Mohamad berkata, kelincahan, kebersihan, dandanan dan kesihatan kucing yang dipertandingkan menjadi kriteria utama dalam pemilihan pemenang.

“Pertandingan dibahagikan kepada enam kategori seperti potongan bulu kucing pendek dan panjang, anak kucing bulu pendek dan panjang serta kategori kucing dewasa bulu pendek dan panjang.

“Penganjuran kali kelima ini mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat kucing seluruh Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2015 @ 7:52 AM