NAJIB membuat lawatan ke SJKT Dengkil,  Sepang untuk meninjau keadaan sekolah dan kebajikan murid.
NAJIB membuat lawatan ke SJKT Dengkil, Sepang untuk meninjau keadaan sekolah dan kebajikan murid.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Dengkil: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan penambahbaikan segera dilakukan terhadap Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Dengkil, di sini selepas melakukan tinjauan, hampir sejam di sekolah berkenaan tengah hari semalam.

Najib menerusi blognya najibrazak.com berkata, kerajaan memandang berat isu kebajikan pelajar terutama pada peringkat awal pembelajaran memandangkan mereka yang akan menjadi pemimpin masa depan.

Menurutnya, beliau mengarahkan beberapa penambahbaikan dilakukan di sekolah itu termasuk menangani masalah longkang terbuka, baik pulih sistem pendawaian, baik pulih makmal sains, membaiki pagar di sekeliling sekolah, membaiki kebocoran bumbung dan membaik pulih kantin serta pusat sumber.

“Saya berpeluang melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Dengkil untuk meninjau keadaan sekolah dan murid di sini,” katanya.

Katanya, Kementerian Pendidikan juga akan melakukan audit dengan kerap bagi memastikan keadaan semua sekolah kerajaan termasuk SJKT berada dalam keadaan selamat dan selesa untuk sesi pembelajaran. Najib berkata, beliau yakin dan percaya dengan langkah susulan yang diambil dan diharap dedikasi bersungguh-sungguh tenaga pengajar di sekolah berkenaan membantu meningkatkan prestasi sekolah itu pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 8:46 AM