Hishammuddin
Hishammuddin

Sungai Petani: Kementerian Pertahanan meminta semua pihak terutama wakil negara yang terbabit dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Plus pada 2 hingga 5 November supaya mempersiapkan diri dengan kekuatan sepenuhnya bagi menghadapi situasi di Laut China Selatan.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ia berikutan situasi semasa di Laut China Selatan seperti yang diketahui umum agak kompleks dan sensitif.

Katanya, beliau tidak mahu melihat sebarang kemungkinan insiden buruk sama ada di laut atau udara yang jika tidak dibendung dibimbangi boleh mengakibatkan satu situasi tidak dikawal terutama membabitkan kuasa besar dunia.

“Jika kita lihat pertimbangan geopolitik ini kadang kalanya negara kecil yang menganggotainya tidak mampu mempengaruhi tindak tanduk kuasa besar walaupun di rantau kita.

“Justeru itu, kita berharap semua yang terbabit memahami situasi yang kompleks dan jika terpaksa kita akan menghadapinya serta menyelesaikan di peringkat 10 negara ASEAN... kita mempunyai keunikan dan kelebihan tersendiri,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 10:05 AM