Kuala Lumpur: Peruntukkan besar diberikan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani iaitu RM5.3 bilion seharusnya digunakan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memastikan produktiviti makanan negara terus terjamin.

Ketua Kluster Pertanian dan Makanan, Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Dr Ghizan Saleh berkata, bajet dibentangkan Perdana Menteri semalam dilihat kurang menyentuh aspek R&D untuk pemerkasaan sektor pertanian dan perikanan.

Beliau berkata, kepentingan R&D adalah bagi memastikan sektor penting itu dapat mengeluarkan hasil tinggi dengan kos minimum.

“Makanan asasnya tentulah disumbangkan sektor pertanian. Kita tidak boleh lagi bertahan dengan pertanian cara lama, apa kita perlukan adalah teknologi tinggi dengan kepakaran sumbangan daripada R&D.

“Namun pada masa sama peruntukan terhadap RISDA dan FELDA untuk peningkatan pendapatan dan produktiviti golongan pesawah, pekebun kecil dan penoreh getah bertepatan pada masanya.

“Ini kerana, kos bahan mentah dan input pengeluaran pertanian seperti baja, bahan kimia dan keperluan asas pengeluaran adalah sangat mahal,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Naib Canselor Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) berkata, sebahagian peruntukkan RM90 juta untuk Program Pembangunan Agropreneur Muda dapat menarik golongan muda bergiat dalam aktiviti pertanian makanan sebagai usahawan tani.

Selain itu, katanya, pelaksanaan Projek Ladang Pengganda untuk ayam kampung adalah idea yang sangat baik kerana ternakan itu boleh menjadi produk berpotensi besar di negara ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perikanan Datuk Ismail Abu Hassan berkata, peningkatan bajet bagi 2016 meningkat melebihi 70 peratus berbanding tahun semasa.

“Peruntukan 50 peratus akuakultur kepada pengeluaran ikan negara melalui spesies ikan bernilai tinggi boleh meningkatkan penghasilan benih berkualiti dan mengurangkan kebergantungan import,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2015 @ 6:41 AM