Beijing: Malaysia tetap yakin adalah Kod Tatalaku (COC) merupakan cara terbaik untuk menangani persaingan tuntutan wilayah di Laut China Selatan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut menyeru rundingan dipergiat bagi memastikan penubuhan segera COC yang cekap.

Katanya, usaha sedemikian akan menjadi instrumen utama dalam memastikan pengurusan sewajarnya terhadap laluan laut dan langit terbuka yang sangat penting.

“Kedudukan Malaysia adalah masalah di Laut China Selatan perlu diselesaikan secara aman menerusi platform pelbagai hala,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi plenari pertama, ‘Trend Keselamatan Asia Pasifik: Cabaran dan Peluang’, Forum Xiangshan keenam, di sini, semalam.

Hishammuddin juga menegaskan konsep kesederhanaan perlu terus diperjuangkan, kerana masalah termasuk ekstremisme dan konflik negeri sering berpunca daripada kejahilan.

“Pendekatan lebih seimbang dan sederhana, bukan saja dalam urusan kita dengan orang lain, tetapi bagaimana kita menguruskan diri sendiri dapat mencegah banyak masalah dihadapi hari ini,” katanya.

Beliau berkata kesederhanaan adalah konsisten dengan orientasi dasar luar Malaysia dan diterima sebagai ‘cara ASEAN’ ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 pada April tahun ini.

“Kesederhanaan mempunyai akarnya menerusi konsep Islam Hadhari dan Wasatiyah yang didukung oleh kedua-dua bekas dan Perdana Menteri kini.

“Islam adalah dan sentiasa menjadi agama keamanan dan pembebasan,” katanya. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2015 @ 9:47 AM