Ahmad Zahid mencuba alat permainan tradisional Sape selepas merasmikan majlis di Sekolah Menengah Kebangsaan Bakun, Sungai Asap.
Ahmad Zahid mencuba alat permainan tradisional Sape selepas merasmikan majlis di Sekolah Menengah Kebangsaan Bakun, Sungai Asap.
Oleh Shamran Sarahan

Kapit: Kerajaan akan meneliti cadangan menyediakan pengangkutan kepada pelajar dan murid di kawasan pedalaman terutama Sabah dan Sarawak bagi mengelak kes kehilangan tujuh murid Orang Asli di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Tohoi, Gua Musang, Kelantan berulang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu adalah langkah yang akan dilaksanakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Beliau berkata, JAKOA bersedia menyediakan pengangkutan kepada pelajar dan murid dalam kalangan Orang Asli pulang ke rumah dengan selamat.

“Kita akan memastikan langkah menghantar anak Orang Asli dari sekolah terus ke rumah masing-masing dilaksanakan supaya tiada lagi insiden seperti di Pos Tohoi, Gua Musang berulang.

“Untuk anak pedalaman di Sabah dan Sarawak, kita akan bincangkan perkara itu dengan Kementerian Pendidikan untuk mengetahui kos pelaksanaannya dan ia memerlukan penelitian lanjut kementerian terbabit,” katanya selepas menghadiri taklimat operasi Stesen Janakuasa Hidroelektrik Bakun (Bakun HEPP), di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahadzir Khalid, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Kemajuan Tanah negeri Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong Khing Sing.

Dalam pada itu, Zahid merasmikan pembukaan jalan penghubung Menjawah ke Pekan Belaga, di sini, semalam, sepanjang 38 kilometer dibina di bawah Program Jiwa Murni Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata, pembukaan jalan itu adalah sebahagian daripada permintaan kerajaan Sarawak untuk membina jalan sejauh 132 kilometer di Belaga dan Pelagus, Kapit.

“Saya akan berunding dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memberikan peruntukan khas bagi pembinaan jalan itu yang akan dilaksanakan melalui Kor Jurutera ATM.

“Apa yang kita lakukan ini memperlihatkan kesungguhan Kerajaan Persekutuan melaksanakan pembangunan di Sarawak, selain mahu melihat program Jiwa Murni dapat memberi manfaat kepada rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 7:17 AM