Oleh Nur Lela Zulkipli

Kuala Lumpur: “Hanya Allah SWT yang tahu perasaan saya apabila melihat anak dalam keadaan sakit dan hanya tinggal tulang kerana mengalami masalah usus sejak lahir,” kata Rosnani Jaafar, 36.

Malang berganda bagi Rosnani yang bukan saja terpaksa berhenti kerja untuk menjaga Mohamad Qushairi Zakaria, 2, sejak lahir malah kini berdepan masalah kewangan membabitkan kos rawatan tinggi anak bongsunya.

Menurut Rosnani, kehidupan anaknya jauh berbeza dengan kanak-kanak lain kerana terpaksa bergantung dengan alat Nutrisi Parenteral (TPN) untuk menyalurkan makanan ke tubuhnya sejak lahir selepas ususnya gagal berfungsi.

“Saya tidak kisah menjadikan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebagai ‘rumah’ sejak Mohamad Qushairi dilahirkan kerana yang lebih penting adalah kesihatannya stabil.

“Qushairi mungkin dibenarkan pulang tetapi TPN perlu sentiasa dipasang dan bilik khas yang bersih dan kondusif perlu disediakan sebelum doktor memberi kelepasan.

“Dua mesin khas berharga RM8,000 memerlukan peruntukan yang tinggi, tidak termasuk lagi keperluan rawatan perubatan lain seperti kos pengubahsuaian bilik nanti.

“Sekurang-kurangnya RM35,000 diperlukan termasuk kos bulanan untuk rawatan dan keperluan Mohamad Qushairi,” katanya.

Rosnani kini hanya bergantung kepada bantuan zakat sebanyak RM250 sebulan yang baru diterima sejak Ogos lalu yang banyak digunakan untuk lampin pakai buang Mohamad Qushairi.

“Suami pula sibuk uruskan tiga anak lain di Kemaman, Terengganu dengan gaji yang tidak seberapa hasil pekerjaan sendiri yang dilakukan di sana,” katanya.

Menceritakan kembali, Mohamad Qushairi mula menunjukkan simpton seperti cirit-birit dan muntah selepas berusia 14 hari selama beberapa hari apabila diberikan susu formula.

Orang ramai yang berhasrat menghulurkan bantuan kepada keluarga ini boleh menghubungi talian 011-31824084.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2015 @ 5:10 AM