Oleh Hadzlihady Hassan

Georgetown: Larangan penggunaan pembesar suara di masjid serta surau kecuali azan dan iqamah masih dalam peringkat cadangan dan ia belum lagi diwartakan sebagai fatwa.

Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, keputusan yang dibuat Jawatankuasa Fatwa Negeri pada mesyuarat 1 dan 2 Julai sebelum disahkan pada 23 dan 24 Ogos lalu tidak perlu diwarta jika tidak mendapat persetujuan Peguam Negeri dan Exco Hal Ehwal Agama Islam.

Menurutnya, semua proses (mewartakan) mengambil tempoh lama dan pihaknya mempunyai masa bagi mendengar maklum balas orang ramai sama ada perlu diwartakan atau sebaliknya.

“Cadangan larangan penggunaan pembesar suara masjid serta surau kecuali azan dan iqamah ini susulan nasihat hukum Jawatankuasa Fatwa Negeri pada 2012 yang melarang penggunaan pembesar suara bagi bacaan surah al-Quran atau zikir sebelum azan Subuh.

“Kali ini, kita mahu memperluaskan lagi dan menambah baik keputusan dulu yang cuma di peringkat nasihat Jawatankuasa Fatwa Negeri mencadangkan ia diwartakan supaya keputusan menjadi kuat dan dipatuhi,” katanya pada sidang media di KOMTAR, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 10:40 AM