DR Asyraf (kanan) berbual dengan sebahagian jemaah haji kumpulan kedua tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
DR Asyraf (kanan) berbual dengan sebahagian jemaah haji kumpulan kedua tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Duduk dan makan bersama, malah mereka melayan jemaah lebih baik daripada ahli keluarga sendiri dan membantu membersihkan diri jemaah haji yang uzur.

Itu pengalaman tidak ternilai yang sempat dikongsi Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bagi menggambarkan tugas mulia 580 petugas haji Malaysia sepanjang menguruskan operasi ibadah haji dan kebajikan jemaah haji negara di Makkah.

Ashraf Wajdi ketika ditemui sebaik tiba dari Makkah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam berkata, beliau hampir menitiskan air mata apabila ada seorang jemaah lelaki warga emas memaklumkan bahawa dia menerima layanan lebih baik berbanding ahli keluarga sendiri.

“Saya melihat sendiri betapa dedikasi dan komitmen tidak berbelah bagi diberikan petugas haji mengendalikan urusan dan kebajikan jemaah Malaysia di Makkah,” katanya.

Katanya, mereka melakukan tugas dengan penuh komitmen dan dedikasi, malah mereka patut menerima pujian dan penghargaan.

Ashraf Wajdi berkata, ada ketikanya, seorang petugas haji ditugaskan menjaga dan menguruskan seorang petugas haji yang uzur terutama dalam mengerjakan ibadah dan rukun haji.

Katanya, beliau pasti model pengurusan dibangunkan Tabung Haji (TH) sukar ditandingi mana-mana badan pengurusan haji lain terutama dalam mengendalikan musim haji.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 9:41 AM