KEADAAN trafik sesak di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Plaza Tol Gombak berikutan warga kota mula pulang ke kampung sempena menyambut Hari Raya Aidiladha.
KEADAAN trafik sesak di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Plaza Tol Gombak berikutan warga kota mula pulang ke kampung sempena menyambut Hari Raya Aidiladha.

Kuala Lumpur: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama seluruh negara dilaporkan bergerak perlahan dengan beberapa insiden kemalangan di beberapa lokasi sempena cuti perayaan Aidiladha, hari ini.

Penolong Jurutera Kanan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Ramli Zekon berkata, setakat jam 9 malam tadi keadaan trafik dilaporkan perlahan dari Bertam ke Sungai Petani dengan kemalangan di Kilometer 116 Lebuhraya Utara Selatan menghala utara.

Menurutnya, antara jalan yang turut sesak adalah Rawang ke Sungai Buaya, Slim River ke Sungkai, Bidor ke Hentian Rehat dan Rawat Tapah, Tapah ke Ipoh Selatan dan Juru ke Permatang Pauh.

“Bagi laluan selatan, kesesakan dilaporkan berlaku di Kilometer 236 arah utara iaitu Nilai ke Seremban akibat sebuah kenderaan terbakar.

“Laluan Simpang Rengam ke Sedenak, Johor juga sesak akibat kemalangan di kilometer 57.7 arah selatan dan Pandan ke Kempas,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu bagi laluan menghala ke pantai timur, kesesakan dilaporkan di Plaza Tol Gombak arah timur dan Bukit Tinggi ke Lentang berikutan jumlah kenderaan semakin meningkat.

“Aliran trafik terus bertambah sehingga jam 11 hingga 12 tengah malam ini (semalam),” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com /plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com /llminfotrafik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2015 @ 6:00 AM