Johor Bahru: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengadakan pertemuan dengan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar yang antara inti patinya membincangkan berkaitan hubungan kerajaan negeri dengan kerajaan Pusat.

Najib menerusi laman sosial Facebook dan Twitter peribadinya memaklumkan pertemuan sejam bersama Sultan Ibrahim itu turut dihadiri Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibrahim.

“Saya baru menghadap Sultan Johor di Istana Bukit Serene. Turut hadir, Tunku Mahkota Johor. Pertemuan selama satu jam ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya menerusi status yang dimuat naik, semalam.

Najib tiba di Istana Bukit Serene di sini, jam 11.30 pagi semalam untuk menghadap baginda dengan menaiki kenderaan rasminya dengan diiringi kenderaan pengiring.

Beliau dilihat meninggalkan istana jam 12.30 tengah hari sebelum menghadiri satu majlis tertutup juga bersama baginda di Country Garden di sini, yang dipercayai turut dihadiri tetamu kehormat berpangkat Gabenor dari China.

Perdana Menteri menghadiri majlis perasmian Bangunan UMNO Bahagian Muar di Jalan Meriam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 6:07 AM