ABDULLAH sedang menunggu pelanggan.
ABDULLAH sedang menunggu pelanggan.
Oleh Zaid Salim dan Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Satu-satunya lokasi yang masih sesuai dan mampu menjana pendapatan penarik beca di bandar raya ini adalah di Pasar Payang.

Berikutan itu, lebih 50 penarik beca menjadikan lokasi di pekarangan pasar itu sebagai tempat mereka mencari pelanggan dan tentunya perpindahan sementara peniaga ke Pasar Payang 2 akan dirasai juga kesannya nanti.

Mereka juga berharap satu tempat khas dapat disediakan untuk semua penarik beca di pasar sementara itu supaya perkhidmatannya dapat diketahui orang ramai serta lebih bersistematik.

Selain itu, penarik beca juga berharap kerajaan dapat mempergiatkan promosi bagi menarik kunjungan pelancong ke pasar sementara dan pasar baru nanti. Pada masa sama terus mengekalkan perkhidmatan tradisional yang dijalankan di situ.

Penarik beca, Abdullah Muhammad, 59, dari Kampung Tanjung Paya, di sini, berkata, Pasar Payang adalah nadi utama kepada sumber ekonomi di kawasan bandar raya dan ia perlu dikekalkan serta konsep asalnya juga perlu diteruskan bagi menjamin kedatangan pelancong luar.

“Sekiranya pelancong atau pengunjung berkurangan, secara tidak langsung menjejaskan pendapatan kami. Kami juga kekurangan pelanggan kerana perkhidmatan beca berkait secara langsung dengan pasar ini.

“Kami tidak menolak pemodenan yang dirancang kerajaan negeri, malah dalam satu-satu hal ia boleh mendatangkan banyak kebaikan untuk semua, tetapi ciri tradisional yang terdapat di Pasar Payang perlu terus dikekalkan kerana ia mampu menarik minat pelancong dari luar,” katanya.

Seorang lagi penarik beca, Abdul Wahab Abdul Omar, 70, berkata, pihak yang bertanggungjawab perlu menyediakan satu ruang atau parkir khas untuk penarik beca menunggu penumpang di kawasan pasar ini sebagai langkah penambahbaikan, sekali gus dapat memberi kemudahan kepada pelanggan.

“Kami terpaksa berjemur di tengah panas ketika menunggu penumpang berikutan ketiadaan tempat parkir, biasanya ia berlaku pada musim cuti sekolah.

“Padahal pada masa cuti sekolah adalah peluang terbaik untuk kami menambah pendapatan kerana ramai pelancong yang menggunakan perkhidmatan kami untuk bergerak dari pasar ke destinasi lain di sekitar bandar raya ini,” katanya yang tinggal di Kampung Sungai Derhaka, di sini.

Abdul Wahab berkata, sejak kebelakangan ini pendapatan penarik beca semakin berkurangan berikutan pengunjung yang datang ke Pasar Payang tidak seperti 10 tahun lalu.

“Pada musim cuti sekolah kami mampu memperoleh seramai 10 hingga 15 penumpang sehari tetapi pada hari biasa, untuk mendapatkan seorang penumpang sangatlah sukar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 5:45 AM