Polis menafikan wujud cubaan culik membabitkan seorang murid perempuan berusia 10 tahun di sebuah sekolah rendah di daerah ini, kelmarin seperti tersebar menerusi laman Facebook.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Zaldino Zaludin berkata, tidak wujud kes sedemikian sebaliknya hanya membabitkan masalah keluarga dan perebutan anak.

Katanya, dalam kejadian jam 12 tengah hari, seorang lelaki bertindak ke sekolah itu dan bertemu guru memaklumkan mahu menjemput murid berkenaan.

Menurutnya, selepas ditanya nama murid itu, lelaki berkenaan tidak dapat menjawab sebelum berpatah semula ke keretanya yang turut dinaiki seorang wanita.

“Selang lima minit kemudian, lelaki itu bertemu semula guru dan memberitahu nama murid adalah ‘Alia’.

“Curiga tindakan lelaki itu, guru menghubungi ibu murid berkenaan dan dimaklumkan tidak mengarahkan sesiapa menjemput anaknya.

“Sehubungan itu, laporan polis dibuat ibu murid terbabit,” katanya.

Zaldino berkata, siasatan awal mendapati, tidak wujud cubaan culik sebaliknya bersabit masalah dan pertikaian keluarga.

“Pihak kami difahamkan, tindakan lelaki dan seorang wanita ke sekolah adalah bagi merebut hak penjagaan anak,” katanya siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya, jika benar wujud cubaan culik, tindakan lelaki terbabit ke sekolah dianggap sebagai tidak profesional.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2015 @ 5:09 AM