SEBAHAGIAN murid Orang Asli tahun enam SK Tohoi menunggu untuk memasuki dewan peperiksaan, semalam.
SEBAHAGIAN murid Orang Asli tahun enam SK Tohoi menunggu untuk memasuki dewan peperiksaan, semalam.

Gua Musang: Hari pertama Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, di sini, berlangsung baik tanpa sebarang gangguan.

Seramai 44 calon menduduki ujian itu semalam berbanding 49 calon yang didaftarkan.

Antara calon terbabit termasuk Anjeli Santana Yaakob, 12, yang juga kakak kepada Noreen, 10, dan Haikal, 8, yang hilang di hutan dekat Pos Tohoi sejak 18 hari lalu selepas melarikan diri dari asrama sekolah.

Turut hilang lima murid lain iaitu Mirsudiar Aluj, 11, Ika Ayel, 9, Sasa Sobrie, 8, Linda Rosli, 8, dan Juvina David, 7.

Anjeli Santana ketika selesai menjawab kertas peperiksaan Bahasa Malaysia dilihat tenang, namun enggan didekati.

Penolong Kanan Pentadbiran SK Tohoi Abdul Rahman Abdullah berkata, peperiksaan itu berlangsung baik walaupun terganggu dengan kehilangan tujuh murid sejak 23 Ogos lalu.

“Tidak dinafikan tumpuan sekolah terbahagi dua sejak insiden kehilangan itu. Kalau sekolah lain menguruskan UPSR sahaja, kami pula terpaksa fikirkan juga mengenai kehilangan murid kami.

“Bagaimanapun, operasi sekolah tetap berjalan dengan baik dan hari ini (semalam), 44 calon hadir menduduki peperiksaan dan mereka juga sempat hadiri empat kem aspirasi di Kuala Betis,” katanya.

Menurutnya, tiga calon disasarkan untuk lulus semua mata pelajaran berdasarkan pencapaian sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 5:39 AM