Putrajaya: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan menganjurkan Festival Rakyat@Pasir Salak di Litar Dato Sagor, Kampung Gajah, Perak bermula 4 hingga 6 Disember ini.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, festival berkenaan diadakan bagi menyemarakkan semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan rakyat negara ini.

Katanya, penduduk di luar bandar juga harus meraikan sambutan Hari Kebangsaan seperti yang dirai oleh penduduk warga kota.

Menurutnya, melalui festival berkenaan, ia sedikit sebanyak dapat berkongsi dengan masyarakat mengenai pencapaian dan kejayaan yang dikecapi kerajaan dalam pembangunan sejak negara ini merdeka.

“Sebagai wakil rakyat atau Ahli Parlimen Pasir Salak, saya mahukan kemerdekaan ini dapat diraikan bersama-sama penduduk, kalau warga Kuala Lumpur mereka raikan di Bukit Jalil, jadi orang di sini kita mengadakan festival.

“Setiap kementerian yang bekerjasama akan memaparkan segala inisiatif yang sudah dilaksanakan atau dalam perancangan untuk membangunkan negara terutamanya di kawasan Pasir Salak,” katanya dalam sidang media Festival Rakyat@Pasir Salak, di kementeriannya di sini semalam.

Tajuddin berkata, selain memaparkan kejayaan membangunkan negara ini, pelbagai program menarik yang sesuai dengan seisi keluarga turut diatur.

“Antara program yang diadakan pada festival berkenaan adalah pertandingan memancing, pesta makan durian, pertunjukan motor klasik dan pertandingan memasak.

“Selain itu, pertandingan futsal, pertandingan karaoke serta persembahan dari artis jemputan seperti Noraniza Idris dan Aris Ariwatan turut diadakan.

Katanya, kemuncak majlis adalah acara cabutan bertuah turut diadakan pada 4 Disember selepas majlis pelancaran yang dijangka disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Tajuddin berkata, majlis pelancaran itu diadakan dengan penuh nostalgia apabila Najib akan dibawa menaiki bot menyusuri Sungai Perak untuk ke tapak festival.

“Bot yang dinaiki Perdana Menteri itu turut diarak dengan bot berhias serta beberapa pemain rebana. Dulu sungai berkenaan adalah jalan utama digunakan penduduk, jika ada apa-apa majlis seperti majlis perkahwinan, pengantin akan dibawa menaiki bot untuk sampai ke rumah pasangan dengan diiringi paluan kompang.

“Jadi kita kembalikan nostalgia berkenaan semasa majlis pelancaran yang akan diadakan pada 4 Disember ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 9:38 AM