ANGGOTA bomba Ayer Keroh menyelamatkan kucing siam yang terperangkap di bumbung.
ANGGOTA bomba Ayer Keroh menyelamatkan kucing siam yang terperangkap di bumbung.

Melaka: Sepasukan anggota bomba dipanggil bagi membantu menyelamatkan seekor kucing Siam yang terperangkap di bumbung tingkat tiga Rumah Pangsa Taman Merdeka, Taman Merdeka, di sini, jam 7.30 pagi kelmarin.

Pemilik kucing berkenaan, Saadiah Talib, 58, berkata, kucing yang dinamakan Comel itu terperangkap di bumbung tingkat tiga bangunan itu selepas dicampak seorang kanak-kanak yang terkejut dan panik dengan jeritannya.

Kanak-kanak berkenaan dipercayai bermain dengan haiwan berkenaan dan tidak memulangkan kucing kesayangan milik Saadiah.

Saadiah berkata, dia dan suaminya, terserempak dengan seorang kanak-kanak yang memeluk Comel.

“Saya menjerit ke arah kanak-kanak itu supaya memulangkannya, namun dia terkejut dan mencampakkan Comel ke atas bumbung di tingkat tiga sebelum melarikan diri,” katanya.

Dia dan suaminya naik ke tingkat tiga untuk menyelamatkan haiwan kesayangannya itu, namun gagal sebelum pasangan itu menghubungi talian kecemasan untuk meminta bantuan pasukan penyelamat.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Pegawai Bomba Kanan II, Dzulkarnaen Abd Halim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 7.40 pagi.

“Enam anggota bersama sebuah jentera tiba di lokasi mendapati seekor kucing Siam terperangkap atas bumbung tingkat tiga rumah pangsa berkenaan sebelum kami membantu menurunkan haiwan itu menggunakan tangga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 5:03 AM