Seramai 20 atlit sukan kanu akan mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records dengan mendayung selama 58 jam tanpa henti di sekitar Kompleks Sukan Air, Presint 6, di sini, menerusi program Dayungan 1Malaysia 58 Jam Tanpa Henti.

Pengarah Projek yang juga peserta Zubir Kassim, 48, berkata, program yang bermula malam kelmarin hingga esok (31 Ogos) itu dianjurkan Pertubuhan Kebajikan Bangsa Prihatin Malaysia (PEKA) sempena sambutan Hari Kebangsaan 2015.

Beliau berkata, program itu juga bertujuan mewujudkan bangsa yang prihatin kerana dana yang diperoleh akan disalurkan kepada fakir miskin, warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, anak yatim, pelajar cemerlang dan individu yang ditimpa musibah.

“Sebanyak 14 kayak digunakan untuk program ini dengan setiap satu daripadanya mewakili bendera negeri di Malaysia.

“Ada kayak yang dikendalikan oleh dua peserta secara bergilir-gilir dan ada yang dikendalikan seorang saja,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian program Dayungan 1Malaysia 58 Jam Tanpa Henti di sini.

Program itu dirasmikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Ahmad Maslan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2015 @ 5:15 AM