Oleh Ainul Fatihah Mansor

Putrajaya: Sebanyak 438 aduan mengenai pengendali umrah palsu diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sejak Januari hingga Mac lalu membabitkan nilai kerugian RM1.92 juta.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, dalam tempoh itu juga terdapat empat kes sudah dikenakan kompaun dengan nilai keseluruhan bernilai RM35,000.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu terdapat 605 kes sama diterima KPDNKK dengan nilai kerugian RM3.98 juta, selain 16 kes dikenakan kompaun dengan jumlah keseluruhan bernilai RM75,500.

“Bagi mengelakkan perkara ini terus berleluasa, kerajaan melaksanakan pelbagai kempen kesedaran bagi membanteras kegiatan penipuan umrah atau ziarah, antaranya program Festival Lawatan Islam Putrajaya (PIT Fest) 2015.

“Jadi, orang ramai perlu mengambil peluang ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai urusan pembelian pakej umrah atau ziarah yang teratur dari syarikat berlesen,” katanya pada sidang media selepas merasmikan PIT Fest 2015, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) Datuk Badlishah Ahmad.

PIT Fest bermula semalam hingga esok di PICC, Presint 5 dan acara julung kali diadakan itu bertujuan menjadi platform untuk agensi pelancongan tempatan memperkenalkan produk pelancongan Islam di negara ini dan antarabangsa, termasuk pakej umrah dan haji yang ditawarkan oleh agensi tempatan yang berlesen dan sah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 5:17 AM