Najib diiringi Adenan (dua dari kiri)  menyanyikan lagu Jalur Gemilang di Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2015 di Padang Merdeka.
Najib diiringi Adenan (dua dari kiri) menyanyikan lagu Jalur Gemilang di Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2015 di Padang Merdeka.
Oleh Shamran Sarahan dan Rabi’atul’Adawiyah Ismail

Kuching: Kerajaan Pusat bersedia memberikan lebih banyak kuasa pentadbiran kepada kerajaan Sabah dan Sarawak dalam usaha merangsang pembangunan di kedua-dua negeri itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau yakin inisiatif itu mampu meningkatkan sistem penyampaian dan kualiti perkhidmatan kepada rakyat dalam menangani masalah pertindihan kuasa, selain bidang kuasa tertentu yang boleh diselaraskan antara kerajaan Pusat dan negeri.

Najib berkata, beliau sudah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa untuk mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Sabah dan Sarawak.

“Berlaku banyak pertindihan kuasa ketika ini di peringkat pusat dan negeri dan ada banyak sumber (bidang kuasa) yang kita boleh selaraskan antara pusat dan negeri.

“Saya yakin kita boleh menangani masalah itu dengan pemberian lebih banyak ‘empowerment’ kepada Sabah dan Sarawak,” katanya ketika melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang 2015 di Padang Merdeka, di sini, malam tadi.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem.

Najib berkata, bentuk kuasa itu diteliti dan bakal diumumkan tidak lama lagi selepas proses perbincangan antara KSN dan SUK selesai.

“Itulah kelebihan jika kerajaan Pusat sehaluan dengan kerajaan negeri. Ia bukan suatu yang sukar dilakukan kerana kita berada dalam satu pasukan di peringkat Pusat dan kedua-dua negeri.

“Kita boleh berikan kuasa (kepada Sabah dan Sarawak), kita akan beri kerana saya yakin ia mampu membawa banyak kesan positif,” katanya.

Justeru, beliau berkata, desakan segelintir pihak yang mahukan Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia adalah permintaan tidak berasas sama sekali kerana kerajaan Pusat tidak pernah mengabaikan keperluan kedua-dua negeri terbabit.

“Apabila Sarawak dan Sabah membuat keputusan menyertai pembentukan Malaysia, ia adalah keputusan keramat yang seharusnya dipertahankan. Apa juga yang berlaku, kita tetap membantu dan mempertahankan Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Adenan berkata, kerajaan negeri tidak akan sesekali akan membawa Sarawak keluar dari Malaysia, malah menyifatkan berpendirian itu sebagai tindakan yang bodoh.

“Itu adalah cakap-cakap bodoh kalau mahu bawa Sarawak keluar dari Malaysia. Kemajuan dan kemakmuran dikecapi hari ini adalah nikmat terbesar penyertaan Sarawak dalam Malaysia.

“Cuma, kita mahukan lebih autonomi supaya lebih banyak kuasa pentadbiran diberikan kepada kerajaan negeri. Kita tidak akan keluar (Malaysia),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2015 @ 10:15 AM