Kuala Lumpur: Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas pertuduhan meliwat seorang kanak-kanak lelaki yang baru pulang dari sekolah, minggu lalu.

Adam Shafiq Malik Faisul, 27, didakwa melakukan seks luar tabii ke atas kanak-kanak tadika berusia enam tahun lapan bulan itu di sebuah unit rumah pangsa di Cheras di sini antara 1.30 tengah hari dan 2 petang, 5 Ogos 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, ketika kanak-kanak itu pulang dari sekolah hendak ke rumah pengasuhnya di rumah pangsa itu, tertuduh menarik mangsa yang baru keluar dari lif dan membawa kanak-kanak itu ke rumahnya.

Pengasuh mangsa kemudiannya terdengar suara kanak-kanak menangis sebelum menjumpainya.

Hakim Zulqarnain Hassan menetapkan 17 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam sebelum menjatuhkan hukuman terhadapnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tan Sew Ping. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2015 @ 8:04 AM