Bangi: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila dikepung empat penjenayah ketika dalam perjalanan menuju ke tempat kerja.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi kelmarin, mangsa berusia 29 tahun itu tergamam apabila dihampiri empat lelaki ketika berjalan berseorangan di Bandar Baru Bangi, di sini.

Difahamkan, mangsa ketika itu baru keluar dari asrama pekerja yang terletak tidak jauh dari kawasan berkenaan sebelum ditahan suspek menaiki dua motosikal.

Sebaik tiba di simpang berhampiran kawasan pembinaan, suspek bertindak menahan mangsa sebelum mengarahkan mangsa menyerahkan beg dibawa jika tidak mahu dicederakan.

“Mangsa yang ketakutan mengikuti arahan suspek tanpa membantah. Dia terus menyerahkan pasport serta beg mengandungi wang tunai dan telefon bimbit.

“Keempat-empat suspek kemudian melarikan diri manakala mangsa bernasib baik kerana tidak dicederakan dalam kejadian itu,” katanya.

Sumber berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Bangi, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, pihaknya berjaya menahan salah seorang suspek susulan laporan dilakukan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 10:43 AM