Putrajaya: Fahaman ekstremis yang disebarkan menerusi Internet dan media sosial antara cabaran dihadapi negara dan ia menuntut secara bersama untuk menanganinya, sekali gus mengelakkan masyarakat mudah terpengaruh dengan propaganda disebarkan.

Pengarah Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) Datuk Mohd Yusof Din berkata, dakyah disebarkan puak ekstremis termasuk kumpulan militan Negara Islam (IS) turut mempengaruhi generasi muda sehingga sanggup ke negara tertentu untuk berjihad bersama kumpulan berkenaan.

Atas faktor itu, katanya, IWM Jabatan Perdana Menteri memainkan peranannya menganjurkan Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2015 bertajuk ‘Islam dan Generasi Muda: Cabaran dan Harapan’ pada 18 dan 19 Ogos ini di Dewan Jubli, Institut Penilaian Negara (INSPEN), Kajang dengan menyasarkan penyertaan 500 golongan belia dan cendekiawan.

“Perasmian seminar akan berlangsung jam 11 pagi pada 18 Ogos disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan beliau akan menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Wasatiyyah Sebagai Manhaj Generasi Muda Masa Kini’.

“Majlis penutupan seminar ini akan disempurnakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan,” katanya di sini, semalam.

Mohd Yusof berkata, seminar berkenaan diadakan bagi membincangkan isu semasa dan realiti dihadapi generasi muda masa kini, selain mengetengahkan usaha pembinaan idealisme dan jati diri melalui pendekatan politik, budaya dan pendidikan.

“Ia juga bertujuan melestarikan usaha pembentukan generasi unggul negara dengan memberi tumpuan kepada sistem pendidikan, sosiobudaya dan ekonomi.

“Selain itu, ia dapat memperkukuhkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan pendekatan Islam berteraskan wasatiyyah sebagai asas penyelesaian permasalahan umat Islam masa kini.

“Ia selaras dengan mewujudkan jaringan kerjasama intelektual dan sinergi antara ahli akademik dan pihak pelaksana dasar dalam usaha pembentukan generasi muda masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Yusof berkata, sasaran penyertaan seminar berkenaan terdiri daripada penjawat awam, institusi pendidikan awam dan swasta, pertubuhan politik, pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan belia serta mahasiswa selain individu yang berminat.

Pada masa sama, Mohd Yusof berkata, Perdana Menteri pada hari perasmian seminar berkenaan dijangka melancarkan Kelab Wasatiyyah yang ketika ini keahliannya terdiri daripada penuntut dari lima institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 9:55 AM