Bagan Serai: “Alhamdulillah, penantian kami selama empat tahun melihat pembunuh arwah menerima balasan setimpal berakhir juga,” kata Ruzaina Kasim, 45, kakak kepada bekas Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Dr Rohani Kasim yang dibunuh sebelum jenazahnya dirogol, empat tahun lalu.

Menurutnya, dia sekeluarga mendapat tahu mengenai keputusan kes perbicaraan membabitkan arwah adiknya selepas dimaklumkan seorang ahli keluarganya.

Katanya, keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh semalam yang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Syahmie Hassan, 24, ibarat kemenangan kepada keluarga mereka yang selama ini sering tidak tenteram mengenangkan peristiwa hitam menimpa arwah yang juga anak ketujuh daripada 10 beradik.

“Setiap kali kami terpandang gambar dan sijil kedoktoran milik arwah, pasti air mata berlinang mengenangkan semula kejadian itu.

“Ditambah kejadian itu berlaku pada Ramadan dan setiap kali menjelang Aidilfitri, semangat meraikannya langsung tiada,” katanya.

Menurutnya, dia dan keluarga bersyukur kes arwah selesai dan merancang mengadakan kenduri tahlil dan doa sebagai tanda kesyukuran.

Dalam pada itu, ibu bapa mangsa, Kasim Idris, 80, dan Sareepah Jali, 75, ketika ditemui melahirkan rasa kesyukuran tidak terhingga berikutan kes anaknya itu mendapat pembelaan sewajarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2015 @ 5:13 AM