SUASANA sambutan Rumah Terbuka PWN Excellence Sdn Bhd semalam.
SUASANA sambutan Rumah Terbuka PWN Excellence Sdn Bhd semalam.

Subang: Kira-kira 5,000 orang memeriahkan suasana sambutan Rumah Terbuka PWN Excellence Sdn Bhd di pekarangan pejabat syarikat itu di Jalan TUDM berhampiran Pangkalan Udara Subang, semalam.

Pengurus Teknikalnya Amiruddin Mohamed berkata, pihaknya menjemput pelanggan yang menyokong perjalanan syarikat itu sejak ditubuhkan pada 2012.

“Acara rumah terbuka ini sudah menjadi amalan dan tradisi masyarakat kita sejak dulu bagi mengeratkan silaturahim antara ahli keluarga dan rakan taulan.

“Begitu juga dengan syarikat, kami mahu menghargai pelanggan selain menjaga hubungan baik kerana hubungan yang terjalin tidak akan terputus begitu saja,” katanya ketika ditemui pada majlis itu semalam.

Menurutnya, syarikat milik penuh Bumiputera itu menyediakan perkhidmatan latihan helikopter kepada juruterbang dan pelanggan mereka terdiri daripada agensi kerajaan, swasta, individu termasuk dari luar negara.

“Kira-kira 5,000 yang hadir ke rumah terbuka ini terdiri daripada anggota bomba, tentera udara, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan beberapa agensi dari luar negara.

“Rumah terbuka yang menyediakan juadah seperti lemang, sate, rendang dan ketupat ini dihadiri tetamu dari pelbagai bangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 10:40 AM