PASANGAN suami isteri yang ditahan reman bagi membantu siasatan di Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka.
PASANGAN suami isteri yang ditahan reman bagi membantu siasatan di Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka.

Alor Gajah: Polis mendapatkan kebenaran Mahkamah Majistret Alor Gajah, di sini, semalam bagi melanjutkan tahanan reman selama tujuh hari lagi bermula semalam terhadap ibu kepada bayi perempuan berusia 22 bulan yang meninggal dunia disyaki akibat didera.

Ketua Polis Daerah Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf berkata, pihaknya memohon lanjutan tahanan reman itu selepas tempoh reman terhadap suri rumah berkenaan tamat semalam.

“Sebelum ini wanita berusia 26 tahun dan suami, 33 tahun ditahan reman bagi membantu siasat berhubung kematian bayi perempuan mereka di kediaman mereka pada 20 Julai lalu.

“Kami membebaskan suami wanita itu selepas tempoh tahanan reman tamat semalam dan berpuas hati dengan kerjasama diberikan sepanjang siasatan berjalan, namun lelaki itu akan dipanggil semula jika diperlukan.” katanya.

Muhammad Ismail berkata, ibu bayi berkenaan akan dirujuk ke Jabatan Psikiatri Hospital Melaka, untuk tujuan pengawasan dalam tempoh tertentu sehingga doktor menyiapkan laporan kesihatan wanita berkenaan.

Terdahulu, Majistret Nor Azizah Yusof, membenarkan permohonan lanjutan tahanan reman bagi membantu pihak polis melengkapkan siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Harian Metro pada 23 Julai lalu melaporkan, tempurung kepala mayat seorang bayi perempuan berusia 22 bulan disahkan retak selain dahi serta beberapa bahagian badan mangsa dikesan mempunyai kesan lebam baru dan lama dipercayai akibat didera.

Susulan hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Tampin, Negeri Sembilan polis menahan ibu dan bapa kepada bayi malang berkenaan ketika pasangan itu sedang menunggu untuk menuntut mayat bayi mereka di hospital sama 21 Julai lalu.

Dalam kejadian di kediaman keluarga mangsa di Taman Padi Indah, Pulau Sebang, di sini, 5.30 petang, 20 Julai itu, ibu mangsa berusia 26 tahun menemui bayi malang itu dalam keadaan telentang tidak sedarkan diri di ruang tamu.

Dia kemudian menghubungi suami bagi memaklumkan kejadian itu sebelum pasangan berkenaan membawa mangsa untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tampin, untuk mendapatkan rawatan namun pemeriksaan oleh pegawai perubatan mengesahkan bayi malang itu sudah meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2015 @ 8:32 AM