Oleh Amir Abd Hamid dan Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Ejen militan Negara Islam (IS) di negara ini dikesan cuba merekrut seramai mungkin pengikut baru untuk menyertai perjuangan mereka menggunakan hadis yang dikenali sebagai ‘Nota Panji Hitam’ untuk mengelirukan orang ramai kononnya ia ajaran Islam sebenar.

Dakyah disebar secara meluas di dalam aplikasi WhatsApp, selain klip video dikongsi ahli kumpulan yang teruja untuk bersama-sama melakukan jihad mengikut pemahaman mereka konon melawan musuh agama dan menegakkan Daulah Islamiah di dunia.

“Jika kamu semua melihat panji-panji hitam datang dari arah Khurasan, maka sambutlah ia walaupun kamu terpaksa merangkak di atas salju. Sesungguhnya di tengah-tengah panji itu ada Khalifah Allah yang mendapat petunjuk. Maksudnya adalah al-Mahdi.

“Apabila keluar panji-panji hitam dari arah Khurasan, tidak akan ada sesuatu apa pun yang dapat menolaknya sehinggalah dipacakkan di Ilya”.

Menggunakan hadis di atas, mereka meyakinkan pengikut bahawa perkara ini dinyatakan di dalam al-Quran dan mendakwa perjuangan mereka tidak perlu dipertikaikan melainkan terus berjihad.

Hadis lain digunakan ialah daripada Imam Muslim dan Al Hakim yang membawa riwayat daripada Abu Hurairah bahawa Al-Malhamah akan terjadi di A’maq atau Dabiq iaitu nama dua tempat berdekatan Halab, Syria dan Antakia, Turki.

Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Kementerian Dalam Negeri (KDN) Zamihan Mat Zin Al Ghari berkata, kumpulan IS menyifatkan mereka sebagai pemuda Bani Tamim yang akan berperang selama bertahun-tahun untuk menegakkan Islam.

Katanya, kumpulan itu menganggap mereka akan berperang dalam jangka masa lama yang dikenali sebagai Al Mahamah.

“Kumpulan itu turut mendakwa mereka golongan yang akan berperang dengan dahsyat menegakkan keadilan sebelum memerintah selama 40 tahun dalam keadaan aman damai.

“Nota Panji Hitam atau Hadis Panji Hitam ini dimanipulasi puak tertentu untuk menghalalkan tindakan mereka berjuang kerana ia pernah disebut Rasulullah SAW, namun ia merujuk Perang Salib yang tidak diketahui masanya.

“Dalam konteks ini, ianya tempat sama digelar sebagai ‘Armageddon’ dalam kitab Injil penganut Kristian sekarang. Peperangan ini adalah pertempuran terdahsyat antara tentera Islam dan tentera Kristian di mana pemimpin akan mengerahkan 80 pasukan tentera yang setiap satu terdiri 12,000 tentera,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, kumpulan IS menganggap mereka akan bertempur dengan 960,000 tentera lawan dan menjadi pembantu Nabi Isa dalam membentuk sistem Islam sebenar.

Padahal, menurutnya, kumpulan itu tidak mewakili ciri-ciri tentera Nabi Isa seperti disebutkan ulama.

Zamihan berkata, dakyah kumpulan itu terpilih sebagai tentera Islam perlu ditolak sebab hakikatnya perbuatan yang dilakukan seperti membunuh orang, mencuri dan merampas harta-benda menunjukkan mereka tidak mengamalkan Islam.

“Ada banyak hadis dimanipulasi untuk mengaburi mata masyarakat kononnya mereka berjuang di jalan agama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 8:39 AM