Manjung: Bekerja dalam bidang yang berbahaya sudah pasti menghadirkan rasa tidak senang dalam hati keluarga terutamanya ibu dan bapa tambahan pula anak mereka seorang wanita yang perlu melakukan kerja setanding lelaki.

Namun, bagi Siti Aisyah Sudirmin, 23, yang juga juruteknik di bahagian utiliti Syarikat Vale, ibu serta bapanya sentiasa memberikan sokongan walaupun kadangkala ada timbul rasa kebimbangan dalam hati mereka.

Menurut wanita yang masih belum mendirikan rumah tangga ini, sejak dari awal diterima bekerja di syarikat itu ibu serta bapanya sentiasa memberikan kata-kata motivasi serta semangat supaya dia boleh bersaing dengan lelaki.

“Saya langsung tidak mendapat halangan keluarga untuk bekerja di bidang ini, malah mereka gembira dan bangga apabila saya terpilih mengikuti Program Perantis Muda Vale ketika syarikat itu mengadakan jelajah bersama komuniti di Pulau Pangkor.

“Apabila diterima saya tidak menolak peluang keemasan yang ditawarkan itu dan berharap pekerjaan itu nanti membolehkan saya membantu dan mengubah masa depan keluarga dengan lebih baik,” katanya yang juga anak kepada nelayan.

Siti Aisyah berkata, tidak pernah terdetik di dalam hatinya untuk bekerja dalam sektor berkenaan kerana sejak kecil lagi dia bercita-cita untuk menjadi seorang jururawat dan cita-cita itu juga disokong keluarganya.

Katanya, mungkin sudah menjadi rezekinya untuk bekerja dalam bidang itu dan bersyukur kerana ibu bapanya tidak menghalang serta mengongkongnya dalam bidang pekerjaan.

Dia yang sudah bekerja hampir setahun selepas pengambilan program perantis dan kini ditugaskan menjaga aspek penyelenggaraan utiliti yang akan membuat pelbagai pemeriksaan termasuk bangunan, hawa dingin, rumah pam dan pencawang elektrik.

Siti Aisyah berkata, dia yang menjadi pekerja wanita tunggal di bahagian itu cuma perlu mengatasi rasa kekok dan sentiasa memikirkan saingan dengan pekerja lain agar kebolehannya tidak diperkecilkan.

“Terus terang saya katakan, pada permulaannya saya memang berasa sangat kekok apabila perlu bekerja dengan lelaki namun saya cuba mengatasinya dengan memberikan perangsang pada diri sendiri untuk bersaing.

“Kini, perasaan itu berkurang dan setakat ini saya langsung tidak mempunyai sebarang masalah atau wujudnya diskriminasi antara rakan sekerja walaupun hanya saya seorang saja perempuan dalam kumpulan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2015 @ 7:26 AM