Kuala Lumpur: Dijangka 1.6 juta pengguna lebuh raya akan pulang ke kampung halaman bermula Rabu ini dan orang ramai dinasihatkan mengikuti Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang disarankan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Jurucakap LLM berkata, pihaknya menjangkakan pergerakan pulang warga kota bermula Rabu dan Khamis ini iaitu tempoh 48 jam sebelum sambutan Aidilfitri.

“Ini adalah senario lazim saban tahun dan kebiasaannya warga kota mula pulang dua hari sebelum Aidilfitri. Kita secara asasnya sudah bersedia untuk menghadapi keadaan itu.

“LLM juga mengeluarkan cadangan waktu untuk pulang ke beberapa negeri terutama menghala ke pantai timur kerana kita jangkakan akan berlaku kesesakan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Tinjauan Harian Metro di beberapa lokasi termasuk Plaza Tol Jalan Duta mendapati keadaan trafik bergerak lancar dan tiada kesesakan lalu lintas.

Keadaan sama turut berlaku di Plaza Tol Gombak, namun berlaku sedikit kesesakan di Plaza Tol Sungai Besi dan ia tidak membabitkan kesesakan luar biasa.

Jurucakap LLM berkata, cadangan waktu perjalanan untuk musim Aidilfitri kali ini memberi fokus kepada laluan pantai timur kerana aliran trafik ke destinasi itu tinggi berbanding utara Semenanjung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2015 @ 7:18 AM