KADAR kompaun daripada RM1,000 diturunkan kepada RM50.
KADAR kompaun daripada RM1,000 diturunkan kepada RM50.
Oleh Naqiukamil Abdullah

Klang: “Saya bersyukur dan tidak perlu risau lagi memikirkan kompaun ini kerana ia dapat diselesaikan dengan baik,” kata peniaga Mohamad Safiri Sabri, 38, yang dikompaun RM1,000 oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK), baru-baru ini kerana tidak meletakkan kenderaan di tempat yang dikhaskan.

Dia turut mengucapkan terima kasih kepada media yang membuat liputan kerana banyak membantu menyelesaikan masalahnya itu.

Menurutnya, dia ke MPK kelmarin dengan membawa wang tunai RM50 serta surat rayuan rasmi pengurangan, namun kompaun itu tidak dapat dikurangkan dengan alasan jumlahnya yang tinggi.

“Saya kemudian menemui Pegawai Undang-Undang MPK Zulina Yahya dan selepas itu, baru rayuan saya diterima,” katanya, kelmarin.

Harian Metro Khamis lalu melaporkan keluhan seorang peniaga yang menerima kompaun daripada MPK berjumlah RM1,000 kerana melakukan kesalahan tidak meletakkan kenderaan di tempat dikhaskan mengikut Seksyen 8(1), Undang-Undang Kecil Taman MPK 2015.

Mohamad Safiri menerima saman itu pada 8 Mei lalu dan perlu menjelaskan bayaran sebelum 15 Mei.

Kadar kompaun yang tinggi, tidak masuk akal dan membebankan itu menyebabkan dia menemui media serta Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 26 MPK Tan Bok Koon.

Sementara itu Tan berkata, pihaknya menyambut baik tindakan MPK yang mengurangkan kompaun Mohamad Safiri.

“Kita menyambut baik tindakan MPK yang mendengar masalah dan keluhan rakyat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2015 @ 5:32 AM